PENGENALAN.
Dunia pada hari ini
telah dibangkitkan dengan pelbagai isu yang memberi impak negatif kepada bumi
kita. Antara isu yang sering diperkatakan oleh masyarakat adalah mengenai
pencemaran yang berlaku di atas muka bumi ini. Dalam erti kata lain pencemaran
boleh dimaksudkan sebagai percampuran sesuatu benda atau perkara yang tercemar
masuk ke dalam sesuatu perkara yang positif. Perkara tercemar tersebut akan
memberikan kesan-kesan yang buruk kepada alam sekitar, budaya dan bangsa
sekiranya tidak di tangani. Disini penulis ingin menghuraikan secara detail
beberapa pencemaran yang boleh didapati di Malaysia. Antaranya adalah
pencemaran air yang berlaku terhadap sumber air kita iaitu sungai dan laut.
Sungai memainkan peranan penting dalam kehidupan harian
manusia serta flora dan fauna. Punca utama pencemaran sungai ialah kumbahan
domestik dan industri, efluen dari kilang minyak sawit, kilang getah dan
penternakan, operasi perlombongan, perumahan, pembinaan jalan, pembalakan dan
pembersihan hutan. Sungai merupakan elemen penting di dalam sistem hidrologi.
Hidrologi merupakan kajian sains mengenai ciri-ciri air, pengagihan air di atas
dan di bawah aras muka bumi serta di atmosfera. Kitaran Hidrologi dikenali
sebagai pergerakan air antara bumi dengan atmosfera. Sungai adalah laluan air
semula jadi yang boleh dibahagikan kepada kawasan tadahan, bahagian tengah
sungai dan bahagian muara sungai. Sistem sungai pula terdiri dari anak-anak
sungai yang mengalir ke sungai utama.Sungai memainkan peranan penting dalam
kehidupan harian manusia serta flora dan fauna.
Fungsi sungai boleh
dibahagikan kepada dua iaitu Sumber Air yang penting kehidupan kepada manusia,
flora dan fauna, aktiviti pertanian/akuakultur, perindustrian dan kegunaan
domestik. Manakala kegunaan lain tempat pembiakan, habitat, penempatan bandar
dan kampung,perdagangan, pelabuhan, riadah, kuasa hidro dan sumber pelancongan.
Sungai-sungai di Malaysia mempunyai pelbagai aneka jenis flora dan fauna
menawarkan peluang rekreasi yang sangat hebat. Sungai di puncanya adalah tidak
tercemar tetapi selepas kegunaan manusia, air menjadi keruh.Kemerosotan kualiti
air sungai sangat signifikan dengan pembangunan akibat daripada pencemaran
berpunca (point source ) dan tidak berpunca (non point sources).
Rasional penulis adalah dalam mengkaji beberapa isu
pencemaran yang berlaku terhadap sistem saliran dan peparitan yang tercemar di
kawasan perkampungan bota kanan hingga menyebabkan masyarakat kekurangan air
bersih . Hal ini kerana ekoran peningkatan jumlah penduduk dari
semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya
pencemaran terhadap sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam
krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan
air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.
Bukan itu saja,
terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan
bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar
kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke
atmosfera. Selain itu, pencemaran
akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga menyebabkan sumber
air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak pelupusan sampah
menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain. Pengaliran sampah dan sisa toksik ini
akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih semakin berkurang.
Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air
bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya dipelihara juga semakin
berkurangan.
Situasi ini terjadi
kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga menjejaskan
kawasan tadahan air. Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga
menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya terus mengalir ke
sungai. Keadaan ini mengakibatkan
kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan
mutu bekalan air. Kekurangan
bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat.
Contohnya, akibat kekurangan sumber air bersih
untuk minuman menyebabkan berlakunya dehidrasi (kekurangan air dalam badan)
selain menyebabkan berlaku penyakit seperti taun kerana meminum air tercemar. Masalah kekurangan bekalan air turut
memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang.
Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus
menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi kesan terhadap bekalan
makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara. Melihat kesan bakal dihadapi akibat
kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita bermuhasabah diri dan berusaha
menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan memulihara sumber bekalan air penting
bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi sekadar menampung kehidupan harian
kita di rumah.
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). (berita harian 2014)
Kajian yang dikaji oleh
penulis adalah tentang punca punca berlakunya masalah pencemaran saliran
dan peparitan di kampung bota kanan.